Sunday, April 26, 2009

Lawatan Yang Berhormat Pehin Menteri Pendidikan

Pada 23hb April yang lepas, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Hj. Abdul Rahman Menteri Pendidikan bersama timbalannya, Setia Usaha Tetap serta rombongan telah membuat lawatan kerja ke Sekolah Rendah Penanjong. Lawatan Yang Berhormat Pehin disambut oleh guru besar, warga sekolah serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan yang awal datang ke sekolah ini. Lawatan bermula dari Pra sekolah seterusnya ke bilik Tahun 1, Tahun 2, Tahun 4A, Tahun 4B, Tahun 5, perpustakaan (Tahun 3) dan makmal komputer (pembelajaran Tahun 6). Yang Berhormat Pehin melihat sendiri sesi pembelajaran dan aktiviti-aktiviti murid serta perlaksanaan SPN21 di sekolah ini. Lawatan ini telah memberi kesempatan kepada warga sekolah untuk berinteraksi dengan Yang Berhormat Pehin.

Dalam lawatan singkat ini Yang Berhormat Pehin juga sempat meninjau perkembangan padang sekolah yang masih dalam proses pembinaan, seterusnya rombongan Pehin Menteri juga telah membuat tinjauan ke kantin sekolah. Yang berhormat Pehin serta rombongan telah dijamu dengan sajian minuman di dewan sekolah sambil melihat pertunjukkan slides aktiviti-aktiviti sekolah. Sebelum Yang Berhormat Pehin serta rombongan meninggalkan sekolah, warga sekolah sempat bergambar ramai bersama Yang Berhormat Pehin, timbalan Menteri Pendidikan, Setia Usaha Tetap serta beberapa orang pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pendidikan.

Pihak sekolah merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas lawatan ini. Lawatan rombongan Pehin ini menggambarkan keprihatinan pihak kementerian dalam pemedulian hal ehwal sekolah ini. Ia juga sebagai pendorong kepada warga sekolah bersama murid-murid dalam sama-sama berusaha untuk mencapai kecemerlangan demi kemajuan sekolah. Klik di sini untuk melihat gambar-gambar sepenuhnya.

Saturday, April 25, 2009

Tahniah

23hb April, dua orang murid dari Sekolah Rendah Penanjong iaitu Mohd. Ammar Sayahrian bin Alim (Th.6) dan Irsalina Syakirah bte Muhd. Ikbal (Th.5) telah menyerti "Peraduan Azan Subuh Serta Doanya dan Meghafaz Ayat-Ayat Lazim" kali ke-21 yang bertempat di Sekolah Rendah Keriam, Tutong I.

Tahniah kepada Irsalina Syakirah bte Muhd. Ikbal kerana telah berjaya mendapat tempat yang pertama dalam penyertaan beliau menghafaz ayat-ayat lazim peringkat Daerah dengan mendapat merkah 84%.

Friday, April 24, 2009

Kursus Penerapan Dan Peningkatan Akhlak Pelajar

Pada 21 dan 22hb April, 2 orang pegawai dari pusat dakwah telah menganjurkan kursus penerapan & peningkatan akhlak pelajar untuk pelajar-pelajar terpilih tahun 4,5 dan 6. Kursus selama 2 hari ini diadakan di dewan sekolah dan makmal komputer. Ustaz Pg. Hj. Yusdi bin Pg. Rumbah menyampaikan ceramah beliau yang bertajuk "menuntut ilmu dan keutamaannya" manakala Ustaz Hj. Yahmiruddin Shah bin Hj Yahmad menyampaikan ceramah "Kisah-kisah teladan". Terima kasih kepada pusat dakwah & bahagian pendidikan, khasnya kepada kedua penceramah diatas keperihatinan abiskita kepada murid-murid sekolah.

Thursday, April 9, 2009

Taklimat Biro Kawalan Narkotik

Hari ini, Khamis 9hb April, Sekolah Rendah Penanjong bersama Sekolah Rendah Pengiran Muda Mahkota Tutong telah sepakat untuk menjemput penceramah dari unit Biro Kawalan Narkotik untuk membuat taklimat bagi murid-murid tahun 6. Aktiviti ini diungkayahkan bertujuan memberi kesadaran dan pengetahuan kepada murid-murid dan sebagai peringatan dalam mereka melangkah ke alam remaja yang penuh dengan dugaan ini.

Dua orang pegawai dari unit Biro Kawalan Narkotik telah berkesudian untuk melaksanakan taklimat ini. Taklimat yang mengambil masa hampir 2 jam ini banyak memberikan pengetahuan dan kesedaran akan penyalahgunaan dadah. Selain daripada taklimat, sesi 'pop-kuiz' untuk murid-murid dan peraduan mencipta slogan yang berkaitan dengan bahaya dadah juga telah menambahkan lagi keceriaan dan penglibatan positif dari murid-murid kedua-dua buah sekolah ini.

Bagi pihak kedua buah sekolah ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Biro Kawalan Narkotik kerana telah berkesudian untuk memberikan taklimat yang bermanafaat ini. Bagi gambar-gambar sepenuhnya sila klik di sini
 

blogger templates | Make Money Online